Jan 17, 2009

Malaysia ibu kota keamanan dunia?

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Malaysia yang dicadangkan sebagai ibu kota keamanan dunia oleh Universal Peace Federation (Persekutuan Keamanan Sejagat - UPF) boleh menjadi penggerak utama kepada perdamaian yang berkekalan di bumi Palestin.

Ahli Parlimen Liang Teck Meng (BN-Segamat) yang mendedahkan cadangan UPF itu berkata, untuk merealisasikan cadangan tersebut Malaysia boleh mengeksport kepakarannya menyatukan penduduk pelbagai kaum ke Palestin sekiranya negara itu dan Israel sedia menerima pendapat dan pandangan orang lain untuk menyelesaikan pergolakan yang tidak berkesudahan itu.

Katanya, ketegasan dan kelantangan Malaysia memperjuangkan isu-isu seperti aparteid, kedaulatan sesebuah negara, alam sekitar dan sebagainya menyebabkan ia dikenali dunia dan menjadi sebuah negara yang ada pengaruh tersendiri dalam ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

''Malaysia perlu bergerak cergas mempengaruhi negara- negara lain bersatu hati bergabung mendesak pihak-pihak yang terlibat ke meja rundingan, mengadakan gencatan senjata dan menamatkan peperangan. Komitmen Malaysia jelas iaitu setiap masalah bukan diselesaikan dengan kekerasan tetapi melalui rundingan.

''Malaysia juga perlu meyakinkan dunia bahawa peperangan di Palestin perlu ditamatkan bukan kerana faktor agama iaitu penindasan orang Yahudi terhadap umat Islam Palestin, sebaliknya atas faktor kemanusiaan dan keamanan sejagat yang perlu dipertahankan," katanya.

Beliau berucap menyokong usul Mengecam Serangan Rejim Zionis Ke Atas Wilayah Gaza pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

Teck Meng yang berucap mewakili parti Gerakan berkata, bagi meringankan beban, kesedihan dan penderitaan rakyat Palestin, beliau meminta kerajaan menghantar segera bantuan kemanusiaan negara itu dan menggerakkan semua jentera kerajaan, swasta dan seluruh 28 juta rakyat negara ini untuk menyumbang segala bentuk bantuan.

''Saya menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik supaya bersatu hati bangkit bersama-sama untuk menunjukkan kekecewaan terhadap rejim Zionis dan sekutunya.

''Semoga dengan tindakan kita dapat membuka mata masyarakat dunia untuk bersama-sama mendesak dan memaksa rejim itu menghentikan serangan kejam ke atas rakyat Palestin," katanya.

sumber : utusan malaysia online

0 tanda kaki: